Mencipta Infografik Alam Sekitar Menggunakan Pages

Deskripsi

Apabila mengajar topik seperti Sisa Domestik, murid sering hanya menyenaraikan fakta. Namun, bagaimana kita boleh menggalakkan mereka membuat penilaian yang lebih mendalam serta menghasilkan penyelesaian yang kreatif?

Dengan mengubah fungsi Pages daripada sekadar pemproses kata kepada alat penerbitan desktop, murid dapat berperanan sebagai pereka digital. Mereka bukan sahaja menganalisis isu sisa domestik di kawasan setempat, malah menghasilkan infografik yang menarik untuk menyampaikan dapatan mereka.

Mata Pelajaran

Geografi

Tahap

Sekolah Menengah (Tingkatan 1)

Tema

Isu dan Pengurusan Alam Sekitar

Fokus

  • Kreativiti Digital
  • Penceritaan Visual

Elemen Merentas Kurikulum

  • Kelestarian Alam Sekitar
  • Kreativiti dan Inovasi
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Objektif Pembelajaran

Murid akan dapat:

  1. Menggambarkan sekurang-kurangnya tiga kesan berbeza akibat pengurusan sisa domestik yang tidak terkawal melalui carta alir.
  2. Mencadangkan dan mensintesiskan satu penyelesaian kreatif yang sesuai dengan konteks tempatan untuk pengurusan sisa yang lestari.

Aliran Pembelajaran

Fasa 1: Penyiasatan Kajian Kes Tempatan

Murid bertindak sebagai wartawan alam sekitar yang menyiasat kawasan kediaman atau persekitaran sekolah mereka sendiri.

Mereka perlu:

  • Mengenal pasti jenis sisa domestik yang paling banyak dihasilkan di kawasan tersebut (contohnya plastik atau sisa makanan organik).
  • Merekod kesan yang dapat dilihat secara langsung seperti longkang tersumbat, pencemaran visual atau bau yang tidak menyenangkan.
  • Mengambil gambar sebagai bukti visual yang menunjukkan kesan pembuangan sisa domestik terhadap persekitaran setempat.

Fasa 2: Menyediakan Ruang Kerja

Murid membuka aplikasi Pages pada MacBook mereka:

  • Pilih File > New dan buka templat Blank.
  • Pada panel Document Inspector, nyah tanda Document Body (Langkah penting: Tindakan ini menukar Pages daripada pemproses kata kepada kanvas terbuka yang membolehkan kotak teks dan grafik diletakkan secara bebas di mana-mana bahagian halaman.)
  • Tetapkan orientasi halaman kepada Portrait atau reka bentuk sepanduk menegak yang lebih panjang.
Nyah tanda Document Body

Fasa 3: Membina Infografik

Murid menyusun infografik mereka kepada tiga zon utama yang tersusun:

Zon 1: Memvisualkan Masalah

  • Menggunakan tipografi bersaiz besar untuk menyerlahkan data penting.
  • Contohnya, memaparkan statistik seperti 70% dalam saiz yang besar dan tebal untuk menunjukkan kadar pengumpulan sisa plastik.
  • Menggunakan fungsi Text Wrapping untuk menyusun penerangan dengan kemas mengikut bentuk reka letak yang dipilih. 
Fungsi Text Wrapping pada perenggan

Zon 2: Analisis Kesan Tempatan

  • Menggunakan bentuk geometri yang tersedia dalam Pages untuk membina carta alir sebab dan akibat.
  • Menunjukkan bagaimana pengurusan sisa yang tidak terkawal boleh menyebabkan masalah seperti banjir kilat atau pembiakan perosak. 
Contoh carta alir

Zon 3: Pelan Tindakan

  • Murid perlu mencadangkan satu penyelesaian inovatif.
  • Contohnya:
  • Sistem kompos komuniti.
  • Sistem kod bar digital untuk tong kitar semula.
  • Program ganjaran komuniti berasaskan aplikasi mudah alih. 
Contoh pelan tindakan

Hasil Kerja Murid

Setiap murid menghasilkan dan menyerahkan:

  • Sebuah infografik yang direka menggunakan Pages.

Bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti, saya turut menyediakan fail “Geografi Infographic Starter Kit.pages” yang mengandungi margin yang telah ditetapkan, blok tajuk yang direka bentuk serta ruang letak media seret dan lepas. Dengan adanya templat ini, guru boleh terus memulakan aktiviti dan mengabaikan Fasa 2 jika diperlukan.



Attachments

0 replies

This post contains content from YouTube.

If you choose to view this content, YouTube may collect and process certain personal data. You can view YouTube’s <a href="https://www.youtube.com/t/privacy" target="_blank">privacy policy here<span class="a11y">(opens in new window)</span>.</a>

This post contains content from YouTube.

You have rejected content from YouTube. If you want to change your consent, press the button below.